Friday, January 30, 2009

syabas tindakan yg bagus!!

PERDANA Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, menyebabkan hadirin Forum Ekonomi Dunia (WEF) terdiam apabila memarahi Presiden Israel, Shimon Peres, kerana menafikan Tel Aviv bersalah mengganas di Gaza dengan berkata: "Kamu bunuh mereka." Erdogan berang selepas penulis Washington Post yang mempengerusikan majlis, David Ignatius, hanya memberinya 12 minit untuk berucap sedangkan Peres, 85, lantang berhujah selama 25 minit dan merujuk kepada pejuang Hamas sambil bertanya: "Mengapa mereka lancar roket? Gaza tidak dikepung. Mengapa mereka lawan kami, apa yang mereka mahu? Kebuluran tidak berlaku walau sehari di Gaza." Apabila Ignatius memberinya satu minit untuk menjawab balas, Erdogan menuduh pengerusi itu menyekatnya membalas hujah Peres dengan berkata: "Saya kesal bagi mereka yang bertepuk tangan mendengar kamu bercakap. Kamu bunuh penduduk Gaza. Saya rasa itu adalah salah."
"Peres, kamu lebih tua daripada saya. Suara kamu terlalu tinggi. Kamu bunuh mereka. Saya masih ingat kanak-kanak yang mati di tepi pantai. Saya masih ingat dua bekas Perdana Menteri (Israel) berkata mereka gembira masuk Palestin dengan kereta kebal. Dalam soal membunuh, kamu terlalu bagus." (gambar 1 dan 2) Apabila Ignatius cuba menyampuk, Erdogan berkata beliau tidak akan datang lagi ke Davos, meninggalkan ahli panel termasuk Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Setiausaha Liga Arab, Amr Moussa, di pentas ucapan (gambar 3).

di petik dari bharian.com

Monday, January 26, 2009

'Cinta monyet tak jamin kebahagiaan'

LONDON: Cinta pertama diakui asyik dan intim tetapi satu penyelidikan baru mendapati jika mahu menemui kebahagiaan pada kemudian hari, lebih baik mengelak daripada dilamun cinta monyet sama sekali. Dakwaan itu terkandung dalam buku bertajuk Changing Relationships, koleksi kertas penyelidikan baru oleh pakar sosiologi terkemuka Britain yang disunting pegawai penyelidik di institut bagi Penyelidikan Sosial dan Ekonomi di Universiti Essex, Malcolm Brynin. Brynin mendapati, kegembiraan cinta pertama boleh merosakkan hubungan masa depan.
"Menakjubkan, nampaknya rahsia mencapai kegembiraan dalam hubungan ialah dengan mengelak daripada cinta pertama terlalu asyik," kata Brynin. Ketika menyelidik komponen bagi hubungan cinta jangka panjang yang berjaya, Brynin mendapati keasyikan cinta pertama boleh menetapkan tanda aras tidak realistik. "Jika anda berada dalam cinta pertama penuh keasyikan dan membenarkan perasaan itu menjadi tanda aras hubungan yang dinamik, kemudian ia sudah tidak boleh dielakkan, menjadikan hubungan cinta masa depan yang lebih dewasa membosankan dan mengecewakan," katanya.
Orang dewasa dalam hubungan cinta jangka panjang yang berjaya adalah mereka yang bersabar dan mengambil pandangan pragmatik mengenai apa yang diperlukan daripada satu perhubungan. Katanya, masalah bermula apabila seseorang itu bukan saja cuba mendapatkan apa yang diperlukan bagi hubungan lebih matang tetapi juga berusaha mengekalkan keseronokan dan keasyikan yang diperoleh dalam cinta monyet. "Kesimpulannya jelas: jika anda dapat melindungi diri daripada keasyikan dalam hubungan pertama, anda akan lebih bahagia dalam cinta seterusnya," kata Brynin. Pandangan Brynin disokong oleh pensyarah psikologi sosial di Universiti Central Lancashire, Dr Gayle Brewer, yang berkata: "Jika anda menilai hubungan dewasa berbanding cinta monyet, anda menggunakan tanda aras tunggal iaitu keasyikan dan keintiman tidak realistik.


dipetik dari bharian.com